Kerjaya Zainizam Marjan

Zainizam mula mewakili Sabah pada tahun 2000. Mutu permainannya mula meningkat naik pada musim 2002 apabila dia berjaya menjaringkan 11 gol dalam 24 perlawanan untuk Sabah muncul sebagai pemenang tempat ketiga Liga Perdana I. Dia juga membantu Sabah muncul naib juara Piala Malaysia dengan menjaringkan 6 gol untuk ke perlawanan akhir.[1]

Persembahan mantap Zainizam membuka pintu kepadanya untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia. Dia kemudian membuat penampilan pertamanya ketika bertemu Myanmar pada 17 Mei, 2002. Dia juga membuat penampilan ketika bertemu Brazil dan terpilih mewakili pasukan bawah 23 tahun Malaysia ke Sukan Asia di Busan pada 2002. Zainizam turut terpilih mewakili pasukan Malaysia ke Piala Tiger 2002.

Pada musim 2003, Zainizam membantu Sabah meraih tempat keempat dengan menjaringkan 4 gol. Dia sekali lagi membantu Sabah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi sekali lagi dihampakan oleh pasukan dari Selangor iaitu MPPJ Selangor dengan jaringan 3-0.

Selepas itu, Zainizam mewakili Malaysia bawah 23 ke Sukan SEA di Vietnam. Dia berjaya menjaringkan satu gol ketika pasukan bawah 23 Malaysia tewas kepada bawah 23 Vietnam di peringkat separuh akhir.[2]

Selepas berakhirnya Sukan SEA, Zainizam sekali lagi dipanggil untuk mewakili Malaysia bawah 23 pada kelayakan Sukan Olimipik. Pada peringkat kelayakan itulah kali terakhir Zainizam bersama pasukan Malaysia.

Setakat ini, Zainizam menjaringkan 42 gol untuk Sabah.[3]